Sebuah perkongsian,
“Aku rasa, J.K. Rowling baca sirah nabi.”
Seorang senior menyatakan begitu pada saya dan rakan. Kenapa pula? Kami tertanya-tanya. Jawapannya, tentu ada dalam siri popular Harry Potter yang tamat ditulisnya tiga tahun lepas. Maka tiba-tiba semangat ‘hantu’ buku saya datang dan saya capai buku terakhir dalam siri itu, milik teman serumah saya sendiri. Dua hari saya bawa buku itu ke sana ke mari, tenggelamkan muka saya pada helaian-helaiannya, mahu buktikan sendiri unsur apa di dalamnya yang hampir dengan sirah Nabi Muhammad.
Kenapa saya baca hanya buku terakhir? Kerana antara tujuh buku yang ditulis Rowling, buku terakhir itu paling saya lupa jalan ceritanya. Setelah membaca Harry Potter and the Deathly Hallows ini, secara automatik saya terkenang isi dalam jilid-jilid terdahulu dan terdetik juga di hati saya kemungkinan yang dikatakan kawan saya sebelum ini.
Apa kata dia lagi? “Harry Potter direka sebagai seorang anak yatim piatu. Dia tiada tempat mengadu, melainkan rakan-rakan dan beberapa kenalan ayahnya. Macam diinspirasi dari kisah Muhammad sendiri, yang ibu bapanya juga sudah tiada. Yang dia ada cuma Abu Talib bapa saudaranya dan sahabat-sahabat tercinta.”
Impak Akhlak Mulia
Membaca karya penutup Rowling, saya menjumpai dan mengingati pelbagai lagi elemen-elemen yang hampir sama keadaannya dengan sirah Nabi. Contohnya dalam The Deathly Hallows, Harry dan rakan-rakannya berbuat baik kepada seekor house-elf (makhluk kerdil yang mengurus rumah seseorang) yang sepanjang hidupnya tidak pernah diperlakukan sebegitu. Elf ini selalu mengutuk dan mencerca Harry dan rakan-rakannya sesuka hati.
Hanya dengan memberinya seutas loket milik tuannya yang terdahulu oleh Harry, elf ini dengan segera menurut perintah Harry dan melayannya dengan layanan yang sangat istimewa, perangainya berubah seratus peratus!
Akhlak baik pada seseorang yang merubah sikap mereka banyak ditunjukkan pada figura Nabi kita sendiri. Kisah Nabi Muhammad dengan orang Yahudi yang tua dan buta di hujung kampung contohnya, Nabi dicerca dan ditempelak terang-terangan oleh orang tua itu sedang yang selalu menyuapnya dengan penuh hati-hati adalah tampang agung itu sendiri.
Setelah wafatnya Rasulullah, Abu Bakar mengganti ‘tugas’ Nabi itu, tetapi orang tua itu tahu bahawa Abu Bakar bukan orang yang sama yang menyuapnya saban hari, disebabkan Abu Bakar tidak menghancurkan makanan itu dahulu seperti yang Nabi lakukan. Setelah Abu Bakar menceritakan bahawa yang menyuap orang tua itu Nabi sendiri, segeralah orang tua itu memeluk Islam.
Kisah lain? Saya teringat pula lagu yang dinyanyikan oleh Dawud Wharnsby, tajuknya Don’t Talk About Muhammad. Kisah seorang perempuan tua yang tidak mengenali Nabi, kemudian ketika Nabi menolongnya mengangkat beban yang dibawa, perempuan itu memburuk-burukkan Muhammad.
Sampai di destinasi, alangkah terkejut perempuan itu apabila ditanya nama pemuda yang menolongnya itu adalah Muhammad! Maka berubah hati dan sikapnya pada Nabi, malah terpegun dengan akhlak baik yang langsung bertentangan dengan cercaan yang ditimpakan pada Rasulullah. Islamlah jua perempuan tua ini.
Keyakinan pada Kebenaran
Dalam volum kelima pula, ada satu peristiwa yang sangat persis salah satu kisah Nabi. Di hujung volum keempat, iaitu The Goblet of Fire, Voldemort, antagonis siri ini, berjaya hidup kembali untuk membalas dendam, tapi yang menjadi saksi kebangkitan semula penyihir yang ditakuti seluruh dunia magis ini cuma dua orang, Harry Potter dan seniornya Cedric Diggory.
Tetapi Cedric mati dibunuh di tempat kejadian, jadi Harry Potterlah sahaja yang menjadi saksi utama.
Dalam sekuelnya, The Order of the Phoenix, Apabila diceritakan yang Voldemort yang pernah menghuru-harakan dunia manusia itu hidup kembali pada masyarakat sekitarnya, semua tidak mempercayai Harry. Maka tinggallah sahabat-sahabat seperjuangannya yang melindunginya dari cemuhan-cemuhan, kononnya mereka-reka cerita itu demi mendapatkan populariti. Dan orang yang pertama mempertahankan lisannya adalah Ron, sahabat karibnya.
Ketika itu sangat sedikit orang yang mempercayai apa yang Harry ceritakan, dan mereka yang mengiyakan ini membentuk sebuah kumpulan pelajar yang kuat yang digelar Dumbledore’s Army dengan senyap-senyap.
Sudah terfikir potongan dalam sirah Nabi yang mungkin dipetik oleh penulis?
Bukankah ini sangat dekat dengan riwayat tentang sekembalinya Nabi dari perjalanan Israk dan Mikrajnya. Pulang saja dari perjalanan ajaib itu, tiada seorangpun yang yakin dan lebih percaya, mempertahankan kata-kata Nabi melainkan sahabat karibnya Abu Bakar. Kisah yang tidak boleh diterima logik akal manusia menyebabkan baginda makin diburuk-burukkan. Tetapi Nabi tetap kuat kerana adanya sahabat-sahabatnya yang percaya dan setia pada Islam.
Kadang-kadang mungkin elemen ini tidak dimasukkan secara langsung dalam buku-buku Rowling. Maksud saya, impak atau kesan pembacaan siri ini juga boleh mengingatkan kita kepada intipati dari sirah. Di pengakhiran jilid enam, The Half-Blood Prince misalannya; Dumbledore, seorang ahli magis yang hebat, juga merangkap pengetua sekolah magis Hogwarts tempat Harry belajar, mati dibunuh oleh konco Voldemort.
Pembaca yang sudah lama bersahabat dengan siri ini, dan sayang terhadap watak ini khususnya mungkin akan terasa kehilangan tersebut. Saya sendiri pernah tonton filem ini di rumah seorangpostgraduate dan isterinya. Isterinya sendiri menangis di saat Dumbledore dibunuh.
Kemudian, beberapa hari kemudian dia menghantar mesej pada senior saya (yang juga menonton bersama waktu itu) bahawa Dumbledore tidak mati. Semua itu lakonan dan macam-macam lagi, katanya. Kami yang sudah membaca siri ini hingga ke hujungnya sudah tahu memang Dumbledore sudah mati, jadi kami memberitahunya. Senior saya sempat bersenda:
“Akak ni mengingatkan saya tentang Saidina Umarlah. Semasa kematian Nabi, kan dia tidak mahu terima kematian baginda. Sampaikan mahu bunuh mereka yang mengatakan Nabi sudah wafat.”
Kalau di dalam The Order of the Phoenix, ada juga babak kematian Sirius Black, bapa angkat atau penjaga Harry selepas kematian ibu bapanya. Saat itu mencucuk-cucuk ingatan saya tentang waktu kepergian dua karektor penting pada Nabi dalam masa dekat, iaitu Abu Talib bapa saudara yang menyokong perjuangannya, juga Khadijah isterinya yang setia dan banyak membantu sejak turunnya wahyu pertama lagi.
Harry, seteleah mati ayah angkatnya, seperti dicabut akar hidupnya, bagaimana tidak? Orang yang selalu membantunya dari belakang sudah tiada. Abu Talib pada Nabi bukankah tulang belakang perjalanan dakwahnya?
Serampang Dua Mata
Mungkin cara saya menyampaikan ini seperti ingin menyelarikan sirah Nabi dengan Harry Potter, atau sengaja ‘mencari-cari’ babak mana yang boleh disesuaikan dengan sirah. Barangkali ada yang tidak berkenan, yalah manakan patut disamakan kisah fantasi Harry Potter dengan babad agung Nabi Muhammad SAW.
Atau mungkin juga, akan tercetus dalam fikiran anda, semua ini ‘kebetulan’ sahaja. Mana mungkin?
Tetapi, lebih penting untuk kita perhatikan, dengan membaca apa juga bahan pun, kalau dapat kita kaitkan dengan kisah-kisah Nabi kita, bukankah lebih baik? Dua manfaat kita peroleh dalam satu masa. Mana tidaknya, kita dapat ulangkaji dan muhasabah diri melalui sirah selain dapat manfaat utama buku itu sendiri. Bukankah contoh terbaik adalah Nabi Muhammad? Ini juga muhasabah buat saya, yang minat membaca, untuk cuba segar-segarkan semula ingatan tentang sirah setiap kali membaca.
Baru saya teringat, Tuesdays with Morrie karya Mitch Albom yang terkenal itu juga, kata seorang kawan saya, persis menghadiri usrah setiap hari selasa. Terkenang pula pada usrah Khabbab Al-Aratt dengan Fatimah (adik Saidina Umar) dan suaminya!
di copy untuk dikongsi,