Archive for Jul 17, 2011

6 - 1 = 0


posted by ~ n.u.u.r ~

No comments

Bismillahirrhamanirrahim


Sifir dan kira-kira dalam Rukun Iman adalah pelik. Andai kita sebelum ini telah diajar bahawa 6 – 1=5, namun dalam sistem matematik Rukun Iman, 6 – 1 = 0.

Ya. enam, tolak satu, adalah kosong.

Menjadi seorang muslim beriman tidak memberikan kita kelonggaran untuk menolak salah satu dari 6 rukun iman yang ada.

  • Beriman kepada Allah
  • Beriman Kepada Malaikat
  • Beriman Kepada Rasul
  • Beriman Kepada Kitab
  • Beriman kepada hari kiamat
  • Beriman kepada Qadha dan Qadar.
Andai kita tolak salah satu daripadanya, maka gugurlah kesemuanya; menjadi kosong dan tak bererti. 6 – 1 =0.

pernah bertanya?

Ada satu titik dalam kehidupan kita, pasti akan terdetik di dalam hati;

“Dimana tuhan? Bagaimana rupa tuhan?”
“Malaikat? bagaimana rupanya?”
“Syurga dan neraka, Bagaimana keadaannya?”



Tidak kiralah sama ada ianya adalah lintasan hati, atau satu persoalan yang membuatkan kita fikir mendalam hingga tidak tidur lena, kedua-duanya berkisar mengenai isu yang sama; Mempercayai sesuatu yang tidak dapat dilihat, mempercayai hanya melalui apa yang diceritakan.

Bagaimana?

Saya tidak akan memberikan anda jawapan, tetapi saya akan berikan anda cara.

Anda tidak pernah melihat bakteria dan virus, sel sel kecil tubuh dan sekitar, namun dengan penciptaan mikroskop bertekonologi tinggi, batas dan dinding tersebut pecah, mengupayakan anda untuk melihat dan memahami apa yang sebelum ini anda tidak fahami.


Anda tidak pernah tahu wujudnya galaksi yang lain di alam ini, namun dengan terciptanya teleskop berbilion dollar, anda kini percaya akan kewujudan alam yang jauh lebih luas dari galaksi bima sakti, dan bukan itu sahaja, malahan anda sudah mula yakin dan percaya, walau masih belum melihat, ada sesuatu yang lebih besar dari apa yang anda sudah terokai. Anda sudah mula yakin bahawa asas kepercayaan ternyata bukanlah pada melihat semata-mata tetapi lantaran anda sedar bahawa ilmu anda adalah sangat terbatas dengan apa sebenarnya yang ada di alam ini.

Dan begitulah sama halnya apabila kita berbicara mengenai soal sam’iyat; yakni mengenai perkara-perkara ghaib yang tidak mampu ditafsirkan dengan akal cetek manusia. Penglihatan akal, apatah lagi penglihatan mata kita tidak mampu mencapai dan tak tercapai untuk melihat segala yang ghaib yang selama ini ingin kita lihat. Allah, malaikat, syurga dan neraka.

Untuk itu kita memerlukan mikroskop dan teleskop istimewa untuk membolehkan kita melihat dan memahami; dan tiadalah “alat” yang lain selain mukjizat terbesar yang dikurniakan kepada Nabi kita Muhammad s.a.w; Kitab Allah Al-Quran.

Sebagaimana kita memerlukan teknologi mikroskop untuk menghubungkan kita dengan alam mikroskopik, Dan Kita memerlukan bantuan teknologi teleskop untuk meneroka alam beribu tahun cahaya jauhnya dari bumi, Maka seperti itulah juga pentingnya kita memerlukan Al-Quran untuk memahami dan menerokai jawapan kepada setiap soalan kita mengenai alam ghaib.

Kita berhak mempersoalkan, namun pastikan persoalan kita itu dipandu pada arah yang benar dan menggunakan sumber yang benar. Sering terlalu mudah untuk kita dipesongkan oleh makhluk yang sentiasa ingin melihat kita tersasar dari jalan yang benar.


Usah silap memilih alat, kerana mikroskop takkan mampu melihat milky way!



“Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, kamu tidak akan tersesat selamanya iaitu kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya”

[HR Imam Malik 1395 bersumber dari Umar bin Khaththab Radhiyallahu ‘anhu dihasankan oleh Al-Albani di dalam kitabnya Manzilatus Sunnah fil Islam 1/18]


kerana dia; adalah hamba